Friday, April 13, 2018

Daging Rebus Air Asam

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Ini kejadian lauk tanpa dirancang. Baru2 ni peti ais MaDiHaA rosak & dah tak boleh dibaiki lagi sebab ini dah kali ke dua rosak. Dah tanya kedai katanya kalau nak baiki kena tukar compressor terus.  Untuk peti ais jenama Hitachi kos mau dekat rm800. Katanya alat ganti jenama Hitachi mahal dari jenama lain.. huhu.. Jadinya kami rasa malas la nak repair sebab takut ianya hanya bertahan untuk beberapa bulan, jadi kami buat keputusan beli yang baru je memandangkan peti ais tu pun rasanya dah guna lebih dari 8 tahun.

Oleh kerana peti ais rosak maka semua lauk2 basah dalam peti ais kenalah diselamatnya daripada rosak. Langkah mudah dengan cara merebus. Mujurlah yang tinggal stok lauk basah hanya daging & ayam sahaja. Dua2 pun MaDiHaA rebus. Maklumlah nak dimasak sekaligus nanti siapa pula yang nak habiskan. Tambah pula waktu peti ais rosak tu pada hari bekerja memang tak cukup masa nak buat macam2. Rebus je mana yang nak diselamatkan & selebihnya di masak untuk makan malam seperti biasa. Hari kerja setiap hari pun kesuntukan masa bagi ibu2 bekerja. Sampai rumah pun dah maghrib, terus je dengan rutin  harian & kewajipan seorang Islam, ibu & isteri. 

Jika ada yang nak ubah2 selera tu bolehlah cuba resepi ni. Rasanya untuk berbuka puasa pun sesuai sangat menu ni. Pecah selera dibuatnya.



Daging Rebus Air Asam
Resepi : MaDiHaA

Bahan utama
600 gm daging lembu

Bahan air asam
1 biji cili merah
1 biji tomato
4-5 biji cili api
2 ulas bawang merah
1 sudu besar asam jawa (larutkan dengan 1 cawan air masak jadikan jus)
2 sudu besar perahan jus limau nipis

sedikit belacan
gula secukup rasa

garam secukup rasa
Bahan yang dihiris/dadu

1 biji tomato
1 biji bawang besar
4 biji cili padi


Cara Menyediakan
1. Daging di potong 3 keping memanjang ikut ira. Rebus sehingga empuk. Bila dah empuk bolehlah dipotong nipis2 melawan ira. Ketepikan dulu.
2. Sementara tunggu daging empuk sediakan air asamnya dulu. Masukkan dalam blender cili merah, tomato, cili padi, bawang merah, air asam jawa & belacan. Kisar sehingga lumat.
3. Tuang bahan kisar dalam periuk & masak sehingga mendidih. Tambah perahan limau nipis, garam & gula secukup rasa. Jika taknak masak pun boleh, tapi pastikan bancuh air asam jawa gunakan air masak/mineral ye.
4. Bila dah secukup rasa campurkan hirisan daging ke dalam air asam. Tambah bahan hiris/dadu & kacau sebati. Siap untuk dihidangkan.

Selamat mencuba!

Monday, April 2, 2018

Muffin Pisang Gebu

Assalamualaikum & salam sejahtera..


Bersua lagi kita.  Mood update baru nak elok. Moh le kayuh pelan2. Sebenarnya bukan takde mood nak update. Tapi masa yang tak mengizinkan.  Setiap kali masak tak lupa snap gambar. Tapi updatenya tak tau bila. hehe.. Gitulah juga dengan nasib gambar2 aktiviti family yang dah makan tahun tak habis2 lagi berupdate. Sabor jelah.  Kalau makanan dah lama basi, berkulat. Mujurlah gambar walaupun dah bertahun tetap elok je lagi. Cuma kalau nasib tak baik PC rosak ataupun pendrive jahanam memang menangislah tuan dia jawapnya... 

Balik ke pangkal jalan.  Ini lagi satu resepi yang dah berulang-kali MaDiHaA dok buat. Tapi takpela kita kongsi le jugak. Resepi elok & menjadi takpe kongsi banyak kali pun. Ilmu tak rugi dikongsi mana tahu ada yang sedang mencari2 resepi muffin pisang. Bolehlah cuba resepi olahan MaDiHaA ni.  Resepi asal dari All recipes. Tapi MaDiHaA dah alter sana sini ikut sesuai selera sendiri. Resepi mat saleh ni biasanya manis2 belaka. Ikut selera kitalah nak ikut resepi bulat2 atau pandai2 kurangkan sukatan ikut selera kita.



Muffin Pisang Gebu

Resepi asal : All recipes
Diolah oleh : MaDiHaA aka Ratna
(resepi asal dpt 10 biji muffin saiz sederhana) 

Bahan2 
1 1/2 cawan tepong gandum
1 teaspoon baking soda (soda bikarbonat)
1 teaspoon baking powder 
1/4 teaspoon garam 
3 biji pisang (MaDiHaA guna 270 gm)~ dilecek
3/4 cawan gula kastor (MaDiHaA guna 2/3 cawan gula perang sebab pisang yg digunakan dah masak ranum & sangat manis!) 
1 biji telur ~ dipukul ringan 
1/3 cawan mentega cair (MaDiHaA guna minyak sayuran) 
  
Cara menyediakan
1. Panaskan oven 190 C (MaDiHaA guna 180C). Aturkan muffin pan dengan kertas muffin atau paper liner.
2. Dalam mangkuk atau bekas yang besar, ayak tepong gandum bersama baking soda & baking powder. Masukkan garam & gula & gaul sebati.
3. Dalam mangkuk lain, satukan pisang lecek, telur & mentega cair. Tuangkan bahan cecair ke dalam bahan kering (tepong) dan gaul sebati menggunakan whisker atau senduk kayu. Jangan terlebih kacau asal bergaul rata sudah cukup.
4. Sudukan adunan ke dalam kertas muffin hingga paras 3/4 ketinggian kertas muffin.  Atau jika mau muffin naik membumbung seperti muffin MaDiHaA tu.. sudukan lebih sedikit adunan sehingga hampir penuh. (tinggalkan ruang lebih kurang 0.5 cm).
5. Bakar muffin antara 18 ~ 20 minit bergantung saiz muffin, suhu & jenis oven yang digunakan.  Boleh uji muffin dengan lidi penguji untuk test samada muffin dan masak atau belum.

Happy baking!

Sunday, April 1, 2018

Tempura Sayuran

Assalamualaikum & salam sejahtera



Stok brokoli & bunga kobis agak banyak kat rumah. Seronok beli brokoli sebab harganya agak murah sekarang ni. MaDiHaA selalu beli kat pasaraya Checkers atau Giant je sebab itu yang dekat dengan pejabat.  Pasaraya lain tak pastilah pulak murah ke tidak. Definisi murah tu bagi MaDiHaA kalau harga brokoli seketul bawah RM2.80 tu kira murah la tu. Kalau harga seketul atas dari RM3 memang MaDiHaA tak beli... Ehh! Pernah MaDiHaA jumpa kat pasaraya TF kat Raub dorang jual brokoli seketul RM1 tau! Punyalah murah kan. Macam tak percaya pun ada. Mungkin terlampau banyak lambakan brokoli kat Cameron Highland agaknya. Lagipun Raub dengan CH kan jaraknya tak jauh sangat.. tu boleh jual murah. Masa kat Raub tu MaDiHaA borong brokoli berketul2 macam dah taknak makan sayur lain je... kikikikiii.... 

Okey balik pada kisah brokoli ni tadi disebabkan banyak sangat stok sayur 2 jenis ni macam dah jemu pulak dibuat sup atau kacau goreng.  So moh le kita buat tempura pulak. Tak sangka pula anak2 suka. Sepinggan habis diratah macam tu je sebelum makan dengan nasi. Mujur MaDiHaA buat lebih. Ok dah jom kita tengok resepi!



Tempura Sayuran

Bahan2
Sayuran yang disukai
MaDiHaA hanya guna bunga kubis & brokoli.
Minyak masak secukupnya

Bahan-bahan Batter
1 cawan tepong gandum
2 sudu besar tepong jagung
garam secukup rasa
2 sudu kecil serbuk lada sulah
3/4 cawan air sejuk dari peti sejuk
1 biji telur
ketulan ais

Cara menyediakan
1. Sayuran dibersihkan & dipotong ikut selera. Campurkan tepong gandum, tepong jagung, garam & serbuk lada sulah.
2. Masukkan air sejuk & kacau rata menggunakan whisker. Masukkan telur & kacau rata.
3. Akhir sekali masukkan ketulan ais dan tunggu sebentar dlm 2 minit. Panaskan minyak & apabila minyak sudah panas, kacau adunan batter sebelum menggoreng. Celup sayuran ke dalam batter & goreng seperti menggoreng pisang. Balikkan supaya garing rata.
4. Angkat & toskan sebelum dihidangkan. Sedap dinikmati waktu panas2 atau suam2.

Selamat mencuba!

Friday, March 30, 2018

Kuih Abok-Abok

Assalamualaikum & salam sejahtera...





Baru2 ni balik Raub rumah mertua. Bawak balik daun pisang sikit. Bila balik ke PJ tiba2 rasa teringin nak makan kuih abok-abok padahal masa ambik daun pisang tu takde angan2 pun lagi nak buat apa. Sebab tiba2 teringin tu terus le beli sagu dengan kelapa parut. Balik kerja gigih la MaDiHaA mengerjakan kuih abok-abok. Lagipun untuk dinner malam tu MaDiHaA hanya masak spaghetti lada hitam dalam entry yang lepas tu je. Senang kerja. Masa tu pulak sedang cuti solat jadi takyah le terkejar2 nak mandi solat bagai... terus je dengan projek dapur... hehe...

Sebelum kukus
Dapat agak banyak MaDiHaA kukus sebahagian & sebahagian lagi difrozenkan. Bila2 masa terasa nak makan hanya defrost & kukus seperti biasa.

Kuih abok-abok ni memang terkenal setiap kali rewang kenduri kendara kat kampung MaDiHaA memang inilah antara kuih yang akan dihidangkan pada orang rewang selain kuih2 yang lain. Kuih ni kalau teringin jangan berangan la nak cari kat gerai2 memang susah nak jumpa. Kalau teringin memang kena buat sendiri. Kecuali waktu bulan Ramadhan mungkin ada dijual itupun MaDiHaA tak pasti sebab jarang2 ke bazar Ramadhan.

Ni resepi yang MaDiHaA buat ye...

Selepas kukus

Abok-Abok
Resepi MaDiHaA

Bahan2
500gm sagu biji halus
400gm kelapa parut putih (guna kelapa yang agak muda)
Garam secukup rasa (agak2 rasa lemak2)
Gula kerek / gula nisan secukupnya ~ diracik halus2
Daun pisang secukupnya dilayur, potong saiz 8" lebar / ikut saiz yang anda suka
Lidi penyucuk secukupnya (MaDiHaA guna lidi cungkil gigi jenis yg keras & tajam tu)

Gula Kerek / Gula Nisan / Manisan
Lagi hitam warnanya bermakna lagi lembut teksturnya & lebih sedap rasanya sebab menggunakan air nira kelapa dengan peratus campuran gula putih yang sedikit. Jika warna yang agak cerah bermakna peratus campuran gula putih yang lebih & hasilnya tekstur gula agak keras & susah nak racik atau potong. Gula yang teksturnya lembut sesuai untuk buat kuih abok-abok, buah melaka dan sebagainya....


Cara menyediakan
1. Rendam sagu dengan air yang mencukupi selama lebih kurang 20 minit. Kemudian toskan.

2. Dalam bekas yang besar masukkan sagu biji, kelapa parut & garam lalu digaul rata. Rasakan garamnya biar terasa lemak2nya.

3. Ambil sehelai daun pisang buat bentuk kon. Masukkan 1 sudu besar adunan sagu. Taburkan 1 sudu kecil gula kerek yang diracik. Sudukan lagi 1 1/2 sudu besar adunan sagu. Taburkan 1 - 1 1/2 sudu gula kerek racik. Akhir sekali sudukan & ratakan 1 sudu besar adunan sagu. Pastikan JANGAN TEKAN adunan sagu semasa membungkus untuk mengelakkan kuih menjadi keras apabila kuih sejuk. Hanya sudukan & biarkan je adunan mcm tu tak perlu tekan2 ye. Akhir sekali lipat kemas daun pisang lebihan & cucukkan.

4. Habiskan semua adunan kemudian kukus selama 30 - 40 minit. Jika nak saiz kuih jadi besar boleh tambah kuantiti sagu & gulanya ye. Daun pisang MaDiHaA tak besar sangat jadi buat saiz2 comel ni je.



Selamat mencuba!

Wednesday, March 28, 2018

Spaghetti Goreng Lada Hitam

Assalamualaikum & salam sejahtera..


Luangkan masa untuk ekspress update hari ni. Jom MaDiHaA kongsi menu ringkas ni. Sesuai untuk breakfast atau boleh je dimakan bila2 waktu yang dirasakan sesuai. Anak2 dah jemu dengan mee kuning. Kalau masak mee lidi atau spaghetti barulah laju dorang makan.

Kuantiti untuk resepi ni agak banyak ye. Kalau isi rumah tak ramai, elok kurangkan sukatan yang MaDiHaA kongsikan tu... Lagipun MaDiHaA guna sayur brokoli extra sebab memang suka masak letak sayur lebih.. jadi hasilnya pun dpt lebih. Makan banyak pun tak rasa bersalah sangat sebab sayurnya lebih... hehe...






Spaghetti Goreng Blackpepper/Lada Hitam
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
500 gm spaghetti
400 gm daging kisar (MaDiHaA guna ramlee)
2 ketul brokoli (saiz besar) ~ potong floret, cuci & tos
1 tin sos spagethi lada hitam prego
2 biji tomato ~ didadu
3 sudu besar sos tiram
garam secukup rasa
3 sudu kecil lada hitam yang telah dikisar
minyak masak untuk menumis

Bahan tumis
2 biji bawang besar ~ didadu
4 ulas bawang putih ~ di dadu
1 sudu besar rempah kurma

Cara menyediakan
1. Rebus spaghetti sehingga lembut. Toskan
2. Panaskan minyak masak & tumiskan bawang besar & bawang putih hingga layu & wangi. Tambahkan rempah kurma & kacau rata. 
3. Masukkan daging kisar & pecah2kan supaya ianya relai & berderai. Masak hingga ia berubah warna. Masukkan tomato dadu, lada hitam kisar & kacau lagi hingga daging masak.
4. Masukkan sos spaghetti lada hitam & tambah air dalam tin kacau2 dengan sudu kemudian curahkan air ke dalam kuali. Bila mendidih masukkan brokoli, garam, sos tiram. Agak2 brokoli empuk masukkan spaghetti & kacau rata. 
5. Siap untuk dihidangkan.




Selamat mencuba!

Friday, March 23, 2018

Cucur Jagung

Bissmillahirrohmanirrohimm...


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Uhuk uhuk uhukk.... banyaknya habukkk... fuhh fuhhh....

Sibuknya tuan rumah sampai bersawang & berhabuk teruk dah rumah ni.... Mohon maaf pengunjung blog Dari Dapur MaDiHaA sesungguhnya tuan rumahnya masih sihat seperti biasa.  Kalau pening2, demam tu adatlah dah namanya manusia tak selamanya sihat.  Sebenarnya tuan rumah terlalu sibuk dengan tugasan & rutin harian tak sempat nak layan rumah maya ni. Hari ni cuba sapu2 sikit habuk yang dah tebal 3 inci ni.... meh la tuan rumah belanja resepi minum petang untuk hari ni. Ringkas2 je sebab penat cuci habuk kan... so kita minum petang dengan cucu jagung jelah ye... 



Lepas ni tak tau bila la pulak nak cuci sawang... hehe... Kita tengok kelapangan lah ye... tuan rumah nak janji pun tak berani. Banyak benda nak kongsi tapi masa kurang mengizinkan..



Cucur Jagung
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2

4 cawan tepung gandum
½  cawan bilis yg dikopek ~ dicuci bersih

2 ½ cawan isi jagung 
1 biji bawang besar ~ didadu
2 ½  cawan air
1 ¼ s/k garam (larutkan garam dlm air)
1 biji telur (gred A)
Minyak masak untuk menggoreng

Cara2
1. Campurkan tepung gandum, jagung, bawang besar dan digaul sebati.
2. Pecahkan telur ke dalam tepong & tuangkan air bergaram tadi sikit demi sikit sambil dikacau rata. Tambah lagi air ikut keperluan & aduk rata.
3. Panaskan minyak lalu gorenglah cucur seperti menggoreng cucur bilis yang biasa kita buat sehingga garing kedua2 belah. Angkat & tos. Hidang dengan sos kegemaran.




Selamat memasak!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...